Karier kelab Tomasz Kuszczak

Hertha BSC

Kuszczak menyertai Hertha BSC pada tahun 2000, menghabiskan masa setahun dengan pasukan simpanan sebelum dinaikkan ke pasukan utama pada 2001. Beliau bagaimanapun berada selama tiga tahun dengan Hertha sebagai penjaga gol ketiga, di belakang Gábor Király dan Christian Fiedler. Tidak membuat sebarang penampilan dalam Bundesliga, beliau menyertai West Bromwich Albion setelah kontraknya dengan Hertha tamat pada 14 Julai 2004.

West Bromwich Albion

Penampilan sulungnya bersama kelab barunya muncul pada 18 September 2004, dalam perlawanan tempat sendiri menentang Fulham yang berakhir dengan keputusan seri 1-1.

Kuszczak hanya bermain dalam satu perlawanan liga sebelum perlawanan genting West Bromwich Albion menentang Manchester United di mana West Bromwich pada musim 2004-05. Sedang bergelut pada ketika itu untuk kekal dalam saingan liga, Kuszczak masuk menggantikan penjaga gol utama Russell Hoult yang mengalami kecederaan pada separuh masa pertama. Beliau menampilkan persembahan cemerlang dengan tidak dibolosi dalam tempoh 68 minit dan membantu West Bromwich mengikat United 1-1, dengan beliau dianugerahkan Pemain Terbaik Perlawanan. Pada perlawanan seterusnya menentang Portsmouth yang juga perlawanan terakhir musim itu, Kuszczak sekali lagi menampilkan persembahan cemerlang untuk membantu West Bromwich menang 2-0, sekaligus mengekalkan kelab dalam saingan liga pada musim hadapan.

Pada musim 2005-06, Kuszczak merupakan penjaga gol kedua West Bromwich di belakang Chris Kirkland, namun kecederaan Kirkland memberikan peluang kepada Kuszczak sebagai penjaga gol pertama. Peningkatan prestasi beliau mengekalkan Kuszczak sebagai penjaga gol utama, sekalipun Kirkland sudah pulih daripada kecederaan yang dialaminya.

Pada 15 Januari 2006, Kuszczak menampilkan persembahan cemerlang ketika membantu West Bromwich menewaskan Wigan Athletic 1-0, yang mana beliau menyelamatkan percubaan saat akhir Jason Roberts. Ia kemudiannya diundi sebagai "Save of the Season" oleh penonton siaran "Match of the Day" dari BBC.

Pada 7 Julai 2006, pengurus West Bromwich, Bryan Robson mengesahkan bahawa Manchester United mengemukakan tawaran membeli Kuszczak dengan jumlah sekitar £2 million. Pada 3 Ogos, West Bromwich menolak tawaran £2.5 million untuk Kuszczak daripada United, setelah menyatakan bahawa mereka mahukan kontrak pinjaman semusim untuk penyerang muda United Giuseppe Rossi. Namun, pada 10 Ogos, United mengumumkan pembelian Kuszczak dalam satu perjanjian yang turut melibatkan penjaga gol Bawah 18 England Luke Steele dan pertahanan Paul McShane berhijrah ke West Bromwich.

Manchester United

Ketika mengumumkannya secara rasmi, United tidak menyatakan syarat-syarat perpindahan dan ini mencetuskan spekulasi bahawa perpindahan Kuszczak ke United hanyalah bersifat pinjaman. Pengarah eksekutif United David Gill kemudiannya menjelaskan keadaan itu dengan mengatakan bahawa Kuszczak akan berada secara pinjaman di United dalam tempoh setahun sebelum menyertai United secara rasmi pada Jun 2007.

Penampilan sulung Kuszczak bersama United muncul ketika menentang Arsenal pada 17 September 2006 di Old Trafford. Walaupun berjaya menyelamatkan sepakan penalti Gilberto Silva, namun beliau gagal menghalang kemenangan 1-0 Arsenal yang dijaringkan oleh gol lewat Emmanuel Adebayor.

Walaupun beliau tidak bermain dalam jumlah perlawanan liga yang ditetapkan pada musim 2006-07, beliau turut diberikan medal kejuaraan setelah permohonan khas kepada pihak pengurusan liga.

Pada 2 Julai 2007, United mengumumkan bahawa Kuszczak telah melengkapkan perpindahannya secara kekal.

Prestasi memberangsangkan penjaga gol veteran Edwin van der Sar dan kecederaan yang menimpa Ben Foster membawa kepada Kuszczak menjadi penjaga gol kedua United pada musim 2007-08. Dalam satu temubual pada bulan Mei 2007, Kuszczak menyatakan keinginannya untuk menjadi penjaga gol utama Manchester United pada satu hari nanti.

Pada bulan September 2008, Kuszczak menandatangani sambungan kontrak dua tahun yang akan mengekalkannya di Old Trafford sehingga 2012.